Makna Ayat Kursi adalah ayat ke-255 dari surah al-Baqarah, surah kedua dalam al-Quran yang turun di Madinah:
Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ~ Ayat : 255
Maksudnya : “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang Tetap hidup, yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”
Makhluk Allah swt Yang Agung
Menurut Ibnu Athiyah, yang dimaksudkan dengan ‘kursi’ berdasarkan hadis-hadis Rasulullah saw adalah makhluk Allah swt yang agung yang berada di antara Arasy Allah swt. Sedangkan Arasy Allah swt tentunya lebih besar berbanding kursiNya. Perbandingan antara kedua-duanya seperti yang dituturkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis riwayat Abu Dzar,
“Bukanlah Kursi Allah swt yang berada di Arasy Allah itu melainkan hanya seperti sebuah lingkaran besi yang dilemparkan di salah satu penjuru bumi.”
Penyebutan kata ‘kursi’ tidak dapat digambarkan layaknya kerusi tempat duduk manusia, begitu juga ungkapan dan Allah swt tidak merasa berat memelihara keduanya. Sememangnya menurut Sayyid Qutb adalah untuk memudahkan manusia memahami dan menggambarkan keagungan dan luasnya kekuasaan Allah swt yang meliputi langit dan bumi, “Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi.” Ungkapan dalam kalimat seperti ini akan memberikan kesan yang kuat dan mendalam serta mantap di dalam hati mengenai hakikat kekuasaan Allah swt.
Sifat Allah swt
Berdasarkan analisa bahasa yang dikemukakan oleh Az-Zamakhsyari bahawa penyebutan sifat-sifat Allah swt yang terkandung dalam Ayat Kursi ternyata tidak menggunakan kata penghubung (wau athaf) yang biasa digunakan dalam susunan kalimat bahasa Arab untuk menghubungkan antara satu kata dengan kata lainnya. Susunan ayat yang demikian menunjukkan kekuatan bayan (penjelasan) pada seluruh sifat-sifat Allah swt yang tersebut dalam ayat ini. Paling tidak terdapat epat penjelasan tentang sifat-sifat Allah dalam Ayat Kursi iaitu:
1. Keesaan Allah swt dalam mengatur seluruh makhlukNya.
2. Allah swt adalah Raja atas seluruh makhluk yang diaturNya.
3. Luasnya ilmu Allah swt yang mencakup seluruh makhlukNya, sampai kepada mereka yang diredhai dan berhak mendapat syafaatnya dengan mereka tidak berhak mendapatkanya.
4. Tentang pengetahuan Allah swt akan seluruh maklumat yang tersebar di langit dan bumi.
Asbabun Nuzul
Ayat Kursi diturunkan pada suatu malam selepas hijrah. Menurut riwayat, ketika Ayat Kursi diturunkan diiringi oleh beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis menjadi gempar kerana adanya suatu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangannya. Sebaik sahaja ayat yang agung ini diwahyukan kepada Rasulullah swt, baginda segera memerintahkan kepada penulis al-Quran iaitu Zaid bin Thabit agar segera menulisnya dan menyebarkannya. Terdapat 95 hadis yang menjelaskan sejarah, keutamaan dan fadilat Ayat Kursi. Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya terdapat perkataan ‘Kursi’, ertinya tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat. Perlu di ingat, bukan yang dimaksudkan dengan ‘Kursi’ ini tempat duduk Allah swt, tetapi adalah ‘Kursi’ itu syiar atas kebesaran Allah swt. Sehingga sukarnya memahami tentang ayat ini, ada sebahagian mfasirin yang menganggapnya sebagai ayat ‘mutasyabihat’, iaitu ayat yang sukar untuk ditafsir dan diserahkan kepada Allah swt makna dan tujuannya.
Suasana Ketika Ayat Kursi Diturunkan
Siapakah yang mampu menterjemahkan keagungan makna ‘Ayat Kursi’ ini, atau meniru irama kata-katanya yang begitu pada dan terpilih?. Bahkan dalam asli bahasa Arabnya, makna itu tampaknya lebih besar daripada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sifat-sifat Allah swt yang begitu berbeza dari segala yang kita ketahui dalam dunia kita ini, sehingga kita puas dengan pengertian bahawa satu-satunya kata yang tepat, yang dapat menyebutNya iala ‘Dia’- kata ganti yang mengandungierti namaNya. NamaNya, Allah swt yang kadang-kala di salah pakai dan digunakan pada makhluk-makhluk dan benda-benda lain, dan kita harus tegas-tegas menolak setiap gagasan atau kesan bahawa ada sesuatu sebagai sekutu Allah swt, Tuhan Tunggal Yang Hidup. Ia hidup, tetapi hidupNya berdiri sendiri dan abadi, tidak tergantung kepada apa pun dan tidak terbatas oleh ruang dan waktu.
Ibnu Katsir mengatakan di dalam Tafsir Ibnu Katsir, ‘Inilah yang disebut Ayat Kursi. Ayat ini mengandungi suatu hal yang sangat agung. Dan terdapat sebuah hadis sahih dari Rasulullah saw, yang menyebut bahawa ayat tersebut adalah ayat yang paling utama dalam kitab Allah swt (Al-Quran).” Imam Ahmad meriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab, bahawa Nabi saw pernah bertanya kepadanya, “Apakah ayat yang paling agung di dalam kitab Allah?”.
NaraSumber : Oleh ڤوترا لاڠيت هيجاو Group facebook Haikallah Peringataan
0 komentar
Posting Komentar